SHAH ALAM, 14 Jan: Seorang pelajar Sekolah Menengah Sungai Kapar Indah, Klang dekat sini ditemukan lemas ketika mandi bersama enam rakannya di Tasik Cermin di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, susulan itu, seramai 11 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba Kota Anggerik, digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 12.16 tengah hari tadi.
“Setibanya di lokasi kejadian pada jam 12.30 tengah hari, pihaknya memulakan operasi mencari dan menyelamat Muhammad Khairul Hamizan Mustapa, 16, yang disedari hilang oleh salah seorang rakannya,” katanya dalam kenyataan.
Norazam berkata, mayat pelajar lelaki itu kemudiannya ditemukan di dasar tasik pada kedalaman lebih tiga meter kira-kira 4.5 meter dari tebing tasik berkenaan pada 2.15 petang.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Shah Alam, di sini untuk bedah siasat,” katanya. – TVS