KUCHING, 14 Jan: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum menyifatkan pemimpin-pemimpin terdahulu sentiasa menganggap Sarawak dan Sabah sebagai sebuah wilayah sejak pembentukan Malaysia lagi.
Bagaimanapun, katanya, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertepatan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung tuntutan dua wilayah itu dalam pembentukan Malaysia.
Jelasnya, pada ketika pembentukan Malaysia, beliau yang sudah dibangku sekolah rendah sudah cakna dan mengetahui sejarah tuntutan dalam pembentukan tersebut.
“Bagi saya sebagai antara ‘orang lama’ sentiasa menganggap bahawa Sarawak dan Sabah adalah wilayah bukan sebuah negeri sejak dahulu lagi.
“Saya berpendapat apa yang baik ketika ini apabila ramai pihak mengambil tahu perkara berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berdasarkan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Presiden UMNO itu juga sudah mengakui bahawa begitulah situasinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti itu di sini, malam ini.
Justeru, beliau berharap agar lebih ramai orang menganggap Sarawak dan Sabah sebagai wilayah, selain memahami bagaimana Malaysia dibentuk dan mengapa Sarawak dan Sabah mempunyai undang-undang imigresen mereka sendiri.
“Itulah kenyataan sebenar..mengapa kami (Sarawak) meminta peruntukan khas dan mengapa kami perlu diberi lebih banyak autonomi dalam hal membangunkan negeri berdasarkan keluasannya,”tambahnya lagi. – TVS