JOHOR BAHRU, 14 Jan: Isu bekalan dan harga jualan minyak masak dijangka stabil selepas masalah kekurangan tenaga kerja asing yang dihadapi pemain industri perladangan dapat diselesaikan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidupt, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pemain industri berkenaan mendakwa, kedua-dua isu itu berlaku disebabkan kekurangan tenaga kerja sekali gus menyebabkan kekurangan bekalan dan kenaikan harga.
Beliau berkata, kementerian kini dalam peringkat akhir perbincangan mengenai isu itu dengan pemain industri tersebut dan mereka berharap perkara itu dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
“Setakat ini Kabinet telah buat satu keputusan penting, iaitu kita sasarkan isu pekerja asing akan dapat diselesaikan dalam masa tiga bulan, jadi mungkin pada akhir Mac ini kita akan dapat berikan jumlah pekerja asing mencukupi kepada semua sektor, khususnya pembinaan dan juga perladangan, itu kita utamakan.
“Hasil pertemuan dengan pihak perladangan iaitu pemain industri kelapa sawit, mereka bersedia untuk berbincang tentang harga, malah harga itu dapat distabilkan sekiranya mereka kembali dapat jumlah pekerja mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Kaligrafi Sempena Tahun Baharu Cina di pusat beli belah Paradigm Mall di sini hari ini.
Mengenai kekurangan bekalan telur khususnya gred A, Salahuddin berkata, pihaknya juga menjangkakan masalah tersebut akan kembali pulih dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Kita sudahpun mengadakan sesi libat urus bersama pembekal dan kita sedang berusaha untuk memastikan bekalan sedia ada mencukupi.
“Kita juga tiada sebarang keputusan ketetapan untuk menyekat eksport telur ke luar negara, kerana pengeluarannya ketika ini pada tahap 112 peratus. Memang ketika ini bekalan tempatan kurang tetapi hal itu akan selesai dalam beberapa bulan ini,” katanya.
Berhubung isu pengusaha kantin sekolah yang menaikkan harga jualan secara mendadak, Ahli Parlimen Pulai itu berkata, kerjasama masyarakat khususnya ibu bapa perlu dengan membuat aduan secara terus kepada kementerian, supaya tindakan segera dapat diambil.
“Mereka boleh buat aduan dengan memaklumkan lokasi dan sekolah mana, agar tindakan segera akan diambil secara satu persatu, pihak sekolah juga perlu ambil maklum berhubung perkara ini,” katanya. – TVS