KUCHING, 14 Jan: Industri kreatif wajar diteroka sepenuhnya oleh anak Sarawak sebagai ekonomi baharu yang boleh menjana pendapatan sekali gus menyumbang ke arah pembangunan sosioekonomi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peluang bakat tempatan untuk meneroka bidang ini disediakan Kerajaan Sarawak dengan penubuhan TVS.
“Saya menubuhkan TVS bukan sekadar untuk tv (tetapi) untuk menjadi platform (meneroka industri kreatif),” katanya berucap merasmikan Majlis Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak (AUBS) 2022 di di sini pada Jumaat malam.
Bagi memangkin pembangunan industri kreatif, selain menyediakan platform untuk menyiarkan karya, TVS juga katanya akan membina studio bermula tahun ini.
Beliau menjadikan contoh kejayaan Korea Selatan menaikkan industri kreatif mereka menerusi drama Winter Sonata yang amat diminati penonton di negara lain termasuk Sarawak.
Menurutnya, drama Korea kini ditonton penduduk di kebanyakan negara dan industri fesyen mereka pun berkembang.
“(Sambutan terhadap) drama Korea begitu meluas, hinggakan orang Sarawak pun menerimanya dengan baik. Lepas Hindustan (kini) Korea. Musim Hindustan dahulu semua Hindustan, fesyen pun Hindustan,” ujarnya.
Dalam usaha memperkenalkan drama tempatan ke persada antarabangsa, Abang Johari berkata, TVS mempunyai perancangan ke arah kerjasama pertukaran drama televisyen dengan stesen televisyen Thailand.
“Jika cerita dan plot drama dihasilkan dengan bagus, maka orang Thailand akan ternanti-nanti untuk menonton kerana plot cerita yang menarik,” jelasnya.
Beliau berkata adalah tidak mustahil jika industri kreatif ini berjaya diteroka di Sarawak, fesyen tempatan pun akan turut berkembang di negara-negara luar yang juga akan menjana pendapatan.
“Ini adalah industri baharu, industri kreatif. Saya ada memaklumkan kepada Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan timbalannya Dr Ripin Lamat, siapa hendak buat drama, kita bagi bantuan kewangan. Kita kena latih orang kita,” katanya.