BERLIN, 13 Jan: Badan induk bola sepak FIFA pada Khamis mengumumkan calon senarai pendek untuk “The Best” 2022, termasuk juara Piala Dunia Qatar Lionel Messi sebagai calon pilihan untuk memenangi anugerah kategori lelaki.
Messi berada dalam senarai 13 pemain lain bersama pemenang Ballon d’Or 2022 iaitu Karim Benzema, pemenang dua kali anugerah The Best iaitu Robert Lewandowski dan rakan sepasukan Paris Saint-Germain Kylian Mbappe, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Penjaring terbanyak Manchester City Erling Haaland, gandingan Brazil Neymar dan Vinicius Junior serta bintang Croatia, Luka Modric juga berada dalam senarai.
Sementara itu, pemain Argentina Lionel Scaloni, dicalonkan untuk anugerah jurulatih terbaik bersama naib juara Piala Dunia Qatar Didier Deschamps dari Perancis, pengurus Real Madrid Carlo Ancelotti dan pengurus Manchester City Pep Guardiola.
Walid Regragui yang mengetuai Maghribi untuk kempen di Qatar turut dicalonkan. Di bawah seliaannya, mereka menjadi pasukan pertama Afrika mara ke separuh akhir Piala Dunia.
Bagi kategori wanita, penyerang Barcelona Alexa Putellas berpeluang mengekalkan trofi 2021 namun menerima saingan sengit daripada pemenang Euro 2022, Keira Walsh dari England.
Calon lain ialah Ada Hegerberg dari Norway, penyerang Jerman Alexandra Popp dan Alex Morgan dari Amerika Syarikat.
FIFA akan mengumumkan tiga finalis dalam setiap kategori pada awal Februari dan majlis penganugerahan akan berlangsung pada 27 Februari. – TVS