MUKAH, 13 Jan: Seorang lelaki maut dalam kemalangan apabila kereta dipandunya terbabas ke dalam parit di tepi Jalan Setia Raja, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden, Muhamad Rizal Alias berkata, dalam kejadian pada 1.20 tengah hari itu, Abdul Malik Mahden berasal dari Kampung Kuala Lama disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan dalaman.
Siasatan awal mendapati mangsa yang berumur 57 tahun dalam perjalanan dari arah Masjid Setia Raja menuju ke Simpang 4, Jalan Wawasan.
“Ketika melalui Jalan Setia Raja, kereta mangsa dipercaya hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan memasuki parit,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pihak perubatan Hospital Mukah yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – TVS