KUCHING, 13 Jan: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak akan meningkatkan kekerapan rondaan malam sebagai usaha mengurangkan risiko kebakaran sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut pada 22 Jan ini.
Pengarahnya, Datu Khirudin Drahman, berkata peningkatan rondaan di kawasan-kawasan perumahan itu melibatkan kesemua 38 balai bomba di seluruh negeri.
“Tidak banyak kes pada musim perayaan tahun lepas namum tahun ini kita meningkatkan rondaan di kawasan perumahan bagi memastikan mesej (cegah kebakaran) itu sampai kepada penduduk,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Tahun Baharu Cina 2023, di sini, hari ini.
Katanya, antara tips keselamatan kebakaran yang dikongsi bagi musim perayaan termasuk mengelakkan sindrom 3L iaitu ‘Lalai’, ‘Lupa’ dan ‘Leka’ serta mengamalkan prinsip 3P; ‘Pengawasan’, ‘Pencegahan’ dan ‘Perlindungan’.
Kempen tersebut dilancarkan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato Sri Dr Sim Kui Hian. – TVS