Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Mahadhir Aziz (tiga dari kanan) turut hadir pada majlis perasmian pejabat baharu Xsolla di The Vertical Corporate Towers, Bangsar dekat sini, hari ini.Foto MDEC.

Xsolla buka pejabat baharu di KL, teroka pasaran permainan bernilai US$800 juta

KUALA LUMPUR, 12 Jan: Xsolla, syarikat dagangan permainan video global berpangkalan di Amerika Syarikat, kini melebarkan sayapnya ke sini yang juga pejabat global terbesar di luar Los Angeles selain bertujuan merebut peluang dalam pasaran permainan tempatan yang kian berkembang.

Presidennya, Chris Hewish berkata ini juga sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai pasaran permainan ketiga terbesar di Asia.

“Secara keseluruhannya, pasaran permainan video itu dianggarkan lebih US$200 bilion (US$1=RM4.36) pada tahun ini dan di Malaysia saja angka itu mencecah hampir US$800 juta.

“Oleh itu, amat wajar untuk kami berada di satu lokasi bercirikan ekosistem permainan yang kukuh dan membolehkan pengembangan pemaju serta syarikat (berkaitan). Malah, ada syarikat permainan besar yang turut membuka pejabat di Malaysia,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian pejabat baharu Xsolla di The Vertical Corporate Towers, Bangsar dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Mahadhir Aziz berkata agensi itu mengalu-alukan kehadiran Xsolla ke Malaysia serta menyambut baik keyakinannya terhadap ekosistem kandungan digital negara yang turut mengiktiraf kemampuan serta kapasiti negara ini.

“Kami akan terus berusaha untuk memberi kemudahan bagi pengembangan dan pertumbuhan rakan utama dalam memanfaatkan negara ini sebagai hab bagi memulakan serta mengembangkan usaha ke rantau Asean secara meluas.

“Menerusi inisiatif strategik nasional iaitu Malaysia Digital, kami yakin Malaysia akan terus menjadi hab digital pilihan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh pihak Xsolla.

Dalam pada itu, Xsolla menyifatkan pengembangan itu membolehkannya menawarkan lebih banyak produk inovatif kepada lebih banyak syarikat permainan di serata dunia.

“Xsolla menawarkan penyelesaian industri bagi membantu pemaju segmen mudah alih, komputer peribadi dan permainan video berasaskan laman sesawang mengembangkan audiens serta meningkatkan penjanaan keuntungan daripada permainan.

“Langkah pengembangan ke Kuala Lumpur juga seiring dengan peningkatan bilangan syarikat-syarikat permainan mudah alih ke Asia. Ini membolehkan Xsolla menawarkan produk yang selari dengan keperluan pasaran selain membantu rakan niaga kami berurusan terus dengan pengguna,” katanya.

Syarikat itu membantu pemaju permainan video dari segi pembiayaan, pelancaran, pasaran, menjana keuntungan dan menjual permainan mereka ke lebih 200 negara di seluruh dunia.

“Setakat ini, kami membantu pemaju mendapat akses kepada pemain baharu menerusi transaksi dalam lebih daripada 130 mata wang serta lebih 20 bahasa,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan