PUTRAJAYA, 12 Jan: Usaha mengesan kapal kargo MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang masih diteruskan oleh Badan Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS) di perairan Natuna, negara itu.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata pihaknya turut mengatur gerak aset APMM Sarawak bagi membantu pencarian di sempadan Malaysia-Indonesia iaitu di perairan Tanjung Datu sehingga ke perairan Kuching.
Beliau berkata APMM juga sedang menjalankan siasatan sekiranya terdapat unsur jenayah berhubung kehilangan kapal itu.
Baca berita berkaitan >>>>> Kapal kargo dalam perjalanan ke Kuching hilang di perairan Natuna
“Pencarian pada hari ini tertumpu di kawasan terakhir isyarat kecemasan Emergency Position Indicating Radio Beacon (EPIRB) yang dikesan oleh Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) menggunakan Sistem COSPAS-SARSAT,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Zubil pencarian hari ini melibatkan satu bot dan satu kapal dari Kantor SAR Natuna serta satu bot dari Kantor SAR Pontianak, Indonesia.
Beliau berkata kru kapal terbabit adalah Adi, warga Indonesia berusia 46 tahun sebagai Master kapal; Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24, sebagai ketua pegawai (Malaysia); Damai Papane Ole, 57, sebagai ketua jurutera (Indonesia); Derrent Littor, 22, kelasi (Malaysia) dan Mohammad Suhaideh Sudin, 22, kelasi (Malaysia).
Dilaporkan MV Dai Cat 06 yang membawa muatan besi paip berserta lima kru telah keluar dari Kampung Acheh, Perak pada 23 Disember 2022 menuju ke Kuching, Sarawak dan sepatutnya tiba pada 31 Disember 2022.
Pada 9 Januari lepas, kapal kargo yang didaftarkan di Malaysia dan membawa muatan 527 batang paip bernilai RM726,205 itu dipercayai hilang di perairan Indonesia manakala laporan berhubung kejadian dibuat ejen kapal terbabit pada hari yang sama. -TVS