KUCHING, 12 Jan: Pementasan teater muzikal ‘Arum Bulak’ (bermaksud, dengan kata lain) diharap dapat mengubah persepsi buruk masyarakat terhadap gelandangan.
Tini Tyrani, pengarah teater berkenaan berkata, ia mengisahkan tentang kuasa dan harta yang menjadi rebutan di tempat pembuangan sampah.
Naskah tulisan Zakaria Hassan memaparkan perjuangan dalam meneruskan kehidupan berkisar kepada penipuan dan tamak.
“Watak seperti Adon dan Gogo mencari kewarasan dalam lingkaran ketamakan dan penipuan mereka yang menjadikan sampah dan barang buangan sebagai sumber rezeki,” katanya pada sidang media di sini pada Khamis.
Teater berkenaan dibarisi oleh pelakon anak jati Sarawak seperti Azam Pitt, Elya, Lan Perey, Shahrul Iskandar, Saiful Bahri dan Wayne.
Pementasannya akan berlangsung di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka di Petra Jaya pada malam 13 dan 14 Januari.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata, teater berkenaan merupakan penerima dana daripada kementeriannya di bawah Dana Mudahcara Warisan.
Objektif pementasan ini adalah bagi menyemarak, memasyarakatkan, membangunkan teater, sastera dan industri kreatif tanah air khususnya.
“Antara objektif lain juga adalah untuk memartabat dan merakyatkan teater ke arah pembangunan masyarakat dalam membina jati diri bangsa,” katanya.