KUCHING, 12 Jan: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berjaya melaksanakan dasar ekonomi serta polisi pembangunan yang telah memacu Sarawak ke hadapan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini dibuktikan menerusi inisiatif – inisiatif utama yang dilaksanakan oleh Premier Sarawak itu seperti Agenda Ekonomi Digital, Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), penubuhan Agensi Pembangunan Wilayah dan penekanan terhadap Ekonomi Hijau.
“Sarawak kini di landasan tepat untuk mencapai wawasan 2030 dan seterusnya menjadikan negeri ini sebagai yang termaju dan berpendapatan tinggi.
“Setiap ucapan oleh Abang Johari bukanlah retorik semata-mata kerana beliau membawa misi yang jelas untuk mentransformasikan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Yang Amat Berhormat Premier Sarawak 2023 di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Abang Johari dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan pemimpin – pemimpin negeri.
Dalam pada itu, Douglas Uggah berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan sentiasa memberi sokongan serta berkeyakinan penuh terhadap Abang Johari untuk terus menerajui Sarawak dengan cemerlang.
“Premier Sarawak boleh tidur lena kerana kami sentiasa di belakang beliau untuk mentadbir Wilayah Sarawak yang dicintai ke hadapan,” katanya. -TVS