KUCHING, 12 Jan: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bercadang untuk memperluaskan projek solar di Sarawak sebagai salah satu alternatif sumber tenaga.
Premier Sarawak itu berkata, rumah yang dipasang solar tidak perlu lagi membayar bil elektrik yang tinggi selain pengguna domestik juga dapat menjual balik tenaga tersebut kepada Sarawak Energy Berhad (SEB).
Abang Johari berkata, beliau telah meminta Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi untuk mencari pakar yang boleh melaksanakan projek ini.
Baca artikel berkaitan:
- Kementerian sambut baik cadangan luaskan penggunaan tenaga solar
- Inovasikan enap cemar minyak kelapa sawit sebagai komponen panel solarÂ
“Kita perlu tahu cara untuk mempromosikan solar bagi penggunaan di kawasan perumahan dan di perkampungan pedalaman.
“Pengguna domestik juga dapat menjana pendapatan dengan cara menjual balik tenaga ini kepada SEB. Selepas itu, SEB akan memiliki sumber tenaga berlebihan yang dapat disalurkan untuk kegunaan perindustrian di Sarawak,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Amanat Yang Amat Berhormat Premier Sarawak 2023.
Majlis itu turut dihadiri isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.
Abang Johari berkata, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara berkenaan kerana perlaksanaannya melibatkan banyak perkara termasuk aspek perundangan.
Abang Johari turut memaklumkan SEB tidak akan mengalami kerugian meskipun kebanyakan pengguna domestik beralih kepada solar kelak sekiranya cadangan ini dilaksanakan. -TVS