MATU, 11 Jan: Daerah Matu bakal mempunyai pusat pengumpulan produk dengan pembinaan bangunan pertamanya di Kampung Sok, tidak lama lagi.
Pegawai Daerah Matu, Wan Hipmi Wan Mohamad berkata, ia merupakan salah satu projek terbesar yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) di sembilan buah kampung di daerah berkenaan.
“Antara projek besar yang dirancang dalam program PROSPEK ini ialah pusat pengumpulan produk yang akan dibina di Kampung Sok. Fungsi pusat pengumpulan ini lebih kepada pemasaran dan penjenamaan kepada semua produk yang ada seperti produk makanan, kraf tangan, produk daripada usahawan daerah Matu yang dikumpul di pusat ini dan akan dibuat penjenamaannya oleh pihak koperasi,” katanya ketika ditemui TVS semalam.
Dalam pada itu, kerajaan melalui PROSPEK berhasrat meningkatkan pendapatan, kualiti hidup dan menaik taraf kemudahan untuk manfaat rakyat.
Usaha dalam tempoh lima tahun itu juga bermatlamat mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar melalui Program Peningkatan Pendapatan bagi meningkatkan kualiti hidup dan menaik taraf kemudahan prasarana di kampung yang sedia ada.
“Projek tersebut adalah di bawah program PROSPEK telah memilih kampung Matu sebagai daerah pertama menjalankan projek ini yang bernilai RM9 juta yang telah diperuntukan selama lima tahun dan kita dalam tahun yang ketiga sekarang ini. Jadi, antara projek besar yang dirancang adalah projek pengumpulan pusat tadi,” katanya lagi.
Kampung Sok merupakan salah sebuah daripada sembilan buah kampung yang terpilih dalam PROSPEK merangkumi tiga komponen utama iaitu ekonomi, perumahan dan prasarana asas. – TVS