KUCHING, 11 Jan: Kes-kes melibatkan jenayah komersial di Sarawak merekodkan trend penurunan pada tahun lalu dengan 2,461 kes dilaporkan berbanding 2,815 kes pada tahun 2021.
Jumlah penurunan itu bersamaan 12.58 peratus atau 354 kes yang yang direkodkan sepanjang tahun lalu dengan kerugian dianggarkan berjumlah RM63.7 juta.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, penipuan melibatkan pembelian dalam talian merekod jumlah mangsa teramai dengan 453 kes, diikuti macau scam (246 kes), pinjaman tidak wujud (236 kes), tipu tawaran kerja secara atas talian (225 kes) dan tipu menyamar kenalan (183 kes)
“Usaha berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak bagi membendung jenayah komersial di negeri ini telah menghasilkan sebanyak 1,050 tangkapan bagi tahun 2022 dengan seramai 1,263 orang (termasuk dari kes-kes tahun sebelum) telah dituduh di mahkamah.
“Pertuduhan tersebut melibatkan 1,146 kertas siasatan dan jumlah pertuduhan keseluruhan sebanyak 2,461,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunanan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.
Mohd Azman dalam pada itu turut menasihati orang awam sentiasa berwaspada dalam mengakses apa-apa laman web seperti iklan di laman sosial dan sebagainya.
“Pada masa orang awam jangan sesekali mendedahkan maklumat perbankan atau maklumat kewangan kepada individu tidak dikenali bagi mengelak daripada menjadi mangsa kepada penipuan jenayah,” ujarnya.-TVS