KOTA KINABALU, 11 Jan: Rombakan Kabinet Sabah menyaksikan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan dilantik sebagai menteri dalam Kabinet yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Selain dua wakil rakyat PH iaitu Datuk Christina Liew (PKR) dan Phoong Jin Zhe (DAP), turut dilantik sebagai anggota Kabinet baharu ialah wakil rakyat Barisan Nasional (BN), James Ratib.
Christina yang merupakan ADUN Api-Api dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah manakala Phoong (ADUN Luyang) sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian.
Mereka bertiga mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin Istana Seri Kinabalu di sini, hari ini.
Dalam pada itu, rombakan Kabinet Sabah turut menyaksikan Datuk Shahelmey Yahya sebagai Timbalan Ketua Menteri III Sabah dan Menteri Kerja Raya Sabah yang baharu menggantikan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Kabinet Sabah turut dianggotai Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri l dan Menteri Pertanian dan Perikanan.
Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam pula sebagai Timbalan Ketua Menteri ll merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Datuk Seri Panglima Masidi Manjun sebagai Menteri Kewangan, Datuk Jahid Jahim (Menteri Pembangunan Luar Bandar), Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Ellron Angin (Menteri Belia dan Sukan) dan Datuk James Ratib (Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat).
Hajiji dalam kenyataan selepas selesai Majlis Angkat Sumpah Jemaah Menteri di Istana Kinabalu berkata, rombakan kabinet adalah sesuatu yang perlu dan bertujuan mengukuhkan kerajaan negeri sekarang.
“Kami memerlukan satu pasukan yang kuat. Menyedari keperluan untuk membentuk satu pentadbiran inklusif, saya telah memasukkan ADUN daripada PH ke dalam Kabinet di samping wakil dari UMNO/BN dan GRS.
“Adalah penting bagi Kerajaan Negeri di bawah pimpinan saya dapat berfungsi sebagai satu pasukan yang bersatu padu, dengan berkongsi aspirasi yang sama yang dibina atas kepercayaan dan saling menghormati,” katanya.
Menurutnya, kerajaan Sabah berazam untuk mempunyai pemimpin mempunyai iltizam yang sehaluan dan menghargai setiap keperluan bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan dengan lancar. Kestabilan politik adalah penting untuk mencapai matlamat ini.
“Bersama satu pasukan yang kukuh, kami akan memastikan pelaburan dinamik kerajaan negeri dapat dikekalkan, seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur di samping dapat menarik lebih ramai lagi untuk datang melabur ke Sabah.
“Kita perlu memastikan momentum pembangunan kita terus maju ke hadapan dan seterusnya dapat memenuhi janji-janji pilihan raya kita kepada rakyat dan negeri,” katanya. – TVS