BINTULU, 11 Jan: Seorang lelaki warga China yang dilaporkan hilang petang semalam di Taman Negara Simalajau, dekat sini ditemui selamat pagi tadi.
Difahamkan, Li Haoyang, 28, mendaftar masuk ke hutan itu pada pukul 12 tengah hari semalam dan kehilangannya hanya disedari oleh rakannya pada pukul 5 petang.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong dikerah ke lokasi sejurus menerima laporan.
“Namun operasi tidak dapat dilaksanakan kerana keadaan sudah gelap yang menyukarkan misi pencarian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Kamarudin berkata, operasi disambung semula pagi tadi namun mangsa didapati selamat selepas hadir di pejabat taman negara pada pukul 8.30 pagi.
“Berdasarkan maklumat daripada Sarawak Forestry Coporation (SFC), mangsa tidak sempat keluar kerana terkandas di Pantai Pulau Penyu berikutan air pasang penuh,”katanya. -TVS