KUCHING, 10 Jan: Puteri Sarah Liyana meminta suaminya, Syamsul Yusof ‘melepaskannya’ selang empat hari selepas pernikahannya kedua dengan Ira Kazar diakuinya.
“Kepada Mohd Shamsul, oleh kerana awak masih block (sekat) saya sehingga sekarang dan masih gagal untuk berbincang, saya minta lepaskan saya kerana awak masih gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga serta awak adalah seorang suami yang toxic dan narcissistic,” katanya.
Puteri Sarah menulis catatan terbaharu itu menerusi Instagramnya, hari ini.
Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah kini berusia tiga tahun.
Awal hari ini, Syamsul, pengarah filem terkenal itu menulis di Instagramnya:
“Moga kedua-dua isteriku tenang dan banyakkan bersabar. Doakan yang baik-baik.”
Pada 6 Januari, Syamsul mengaku bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua menerusi rakaman video yang dimuat naik menerusi Instagram.
Pendedahan itu mengundang pelbagai reaksi netizen malah ia menjadi perbualan hangat di media sosial untuk beberapa hari.
Dalam video itu, Syamsul, pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan menyatakan bahawa Puteri Sarah Liyana masih isterinya.
“Apa sahaja masalah, kita berbincang dan selesaikan tanpa perlu menghebahkan atau mengaibkan saya,” katanya.
Sementara itu, Puteri Sarah turut memuat naik rakaman video menerusi Instagramnya susulan pengakuan suaminya.
“Macam mana nak bincang, dia dah ‘block’ (sekat) nombor telefon saya sejak setahun lalu,” katanya.
Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah menjadi perhatian industri seni sejak tahun lalu selepas pendedahan Puteri Sarah berhubung tindakan undang-undang perlu diambilnya berikutan dakwaan gangguan rumah tangga oleh ‘orang ketiga’. – TVS