KUCHING, 10 Jan: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) akan meneliti secara terperinci pelan pemulihan untuk membimbing pelajar sekolah yang tercicir dalam sistem pendidikan nasional sebelum melaksanakannya.
Menterinya, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, pihaknya terbuka kepada sebarang pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan sekiranya ia memberi manfaat kepada pelajar di sekolah.
“Buat masa ini saya belum dapat beri pandangan kerana belum lihat dengan terperinci perkara terkandung dalam pelan ini.
“Kita menerima apa sahaja yang baik untuk anak-anak tercicir di kawasan luar bandar tetapi jangan lupa di kawasan bandar juga,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai rancangan Kementerian Pendidikan (KPM) yang akan merangka pelan pemulihan untuk membimbing pelajar sekolah yang tercicir dalam sistem pendidikan nasional.
Pada Ahad lepas, Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek berkata, KPM sedang merangka satu pelan pemulihan dan sedang mengumpul data daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan itu.
Terdahulu, Sagah merasmikan Program Kecemerlangan Sejarah bagi pelajar berpotensi lulus (peratus layak sijil SPM) bagi sekolah-sekolah menengah bahagian Serian di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Razak, Siburan. – TVS