KUALA LUMPUR, 10 Jan: Fasa satu Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dengan anggaran jarak keseluruhan 706 kilometer (km) telah mencapai kemajuan lebih 70 peratus setakat Disember tahun lepas.
Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata projek itu sebelum ini melibatkan 15 pakej kerja dan dijangka siap pada suku pertama 2025.
Namun, katanya, satu pakej baharu diwujudkan melibatkan laluan dari Serusop ke Pituru yang dijangka memulakan pembinaan pada suku pertama tahun ini, menjadikan keseluruhan 16 pakej.
“Bagi Projek LPB Sarawak sepanjang 786 km pula, status kemajuan bagi 11 pakej kerja dari Telok Melano ke Miri sehingga Disember 2022 adalah 91 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini,” katanya dalam ucapan pada Majlis Amanat Tahun Baharu dan Perhimpunan Bulanan Bersama Menteri Kerja Raya, di sini hari ini.
Sementara itu, Nanta berkata projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) fasa satu yang melibatkan jajaran sepanjang 77 km dari Bandar Lawas hingga persimpangan Long Lopeng, kini dalam pembinaan dengan tempoh kontrak selama 53 bulan bermula 9 Ogos 2021 dan dijangka siap pada 8 Jan 2026.
SSLR adalah projek jalan raya yang akan menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa perlu melalui Brunei.
“Komitmen kerajaan jelas dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat terus diberi keutamaan manakala agenda pertumbuhan ekonomi negara terus diperkasa dan diberi sokongan dalam fasa pemulihan dan pertumbuhan ekonomi masa kini,” katanya. – TVS