TATAU, 10 Jan: Sebanyak 87 unit rumah bakal dibina di Lot 170, 287 dan 290, Block 22, Buan Land District di sini menerusi program Skim Pembesaran Kampung.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, program itu adalah untuk menempatkan semula penduduk Kampung Baru dan Kampung Dagang bagi mengatasi kepadatan penduduk dan isu banjir.
“Kita akan membangunkan pekan baharu atau kawasan komersial dan juga sebuah kawasan perumahan baharu untuk menampung pertambahan penduduk sekali gus mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku.
“Lokasi ini terletak tidak jauh dari Pekan Tatau, hanya sejauh 2.5 kilometer dari Pekan Tatau. Kita harap ia dapat siap dalam tempoh dua tahun,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek perumahan terbabit, hari ini.
Kos menyediakan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, lampu jalan dan saliran perparitan serta kerja-kerja menimbus tanah ditanggung kerajaan Sarawak.
“Ini merupakan skim khas untuk rakyat B40 dan M40. Apabila projek ini siap nanti, kos insfrastruktur ini tidak termasuk dalam harga rumah kerana ia ditanggung oleh kerajaan Sarawak termasuk utiliti.
“Pembeli hanya membayar harga rumah dan deposit sebanyak RM10,000 juga dibayar oleh Kerajaan Sarawak.
“Pembeli cuma perlu bayar bulanan dengan pinjaman ditawarkan Mutiara Mortgage yang hanya perlu membayar lebih kurang RM300 ringgit,” ujarnya. – TVS