JAKARTA, 9 Jan: Satu program permukiman akan diadakan minggu depan khusus untuk Jemaah Menteri bagi menetapkan indeks prestasi utama (KPI) setiap kementerian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata program itu bertujuan mendapatkan input daripada menteri setelah lebih sebulan memikul tanggungjawab dan mengemukakan perkara yang dapat dilakukan atau diperbaiki.
“Selepas itu, kita buat pengumuman tentang KPI dan harapan daripada setiap menteri dan kementerian,” katanya dalam sesi soal jawab pada Majlis Makan Malam Perdana Menteri Bersama Diaspora Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan di sini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Terdahulu, Anwar dalam ucapannya berkata kerajaan sedang berusaha memacu semula pertumbuhan ekonomi yang lebih segar serta meyakinkan dan fokus utama pentadbirannya adalah pengukuhan ekonomi yang mampan dengan menarik pelaburan selain menjamin keadilan sosial.
“Malaysia mesti bebas daripada kegelojohan kelompok elit kecil yang menggunakan kuasa untuk memperkayakan diri dan puak mereka. Saya tidak akan bertolak ansur sama sekali walaupun ini menggugat kedudukan saya,” katanya. – TVS