KUCHING, 9 Jan: Perbincangan akan diadakan bagi memperhalusi kerjasama dalam menerapkan nilai serta konsep perpaduan dalam pembangunan industri sukan dan komuniti belia.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di Putrajaya pada 16 Januari ini.
“Konsep perpaduan dan multiculturalism (faham pelbagai budaya) yang wujud di Sarawak sangat kuat dan kementerian mahu melihat bagaimana idea ini boleh diterapkan dalam membangunkan sukan dan belia di Malaysia.
“Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah berkongsi idea dan pandangan mereka (kerajaan negeri) mengenai konsep berkenaan.
“Idea beliau akan kami bawa ke Putrajaya untuk dibincangkan bersama,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Dalam pertemuan selama satu jam itu, Yeoh berkata, Abang Johari menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi merealisasikan idea berkenaan.
Sementara itu, Yeoh turut menyatakan minat untuk meneroka potensi sukan akuatik di Sarawak dari peringkat akar umbi.
“Sukan akuatik sentiasa menjadi kekuatan di Sarawak dan inilah yang membezakan Sarawak dengan negeri lain.
“Kementerian ingin mempelajari landskap pembangunan sukan akuatik dan pendedahan sukan ini kepada belia bermula dari kecil,” katanya. – TVS