Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol dan Martin Ben berbincang sesuatu ketika lawatan ke perumahan nelayan RGC Semop, Pulau Bruit, hari ini. Foto: UKAS

Cadangan pembinaan pekan kecil Pulau Bruit dijangka merancakkan aktiviti sosioekonomi – Abdullah

PULAU BRUIT (DARO), 9 Jan: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berharap Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) Semop akan dimajukan sebagai pekan kecil Pulau Bruit.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata kewujudan pekan kecil di kawasan yang turut menempatkan perumahan nelayan itu dijangka merancakkan aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan berkenaan.

RGC Semop menurutnya akan dilengkapi sebuah dewan masyarakat yang telah diluluskan peruntukan RM7 juta untuk pembinaannya.

“Beberapa perkara telah diutarakan kepada kementerian serta agensi berkaitan tentang keperluan di penempatan baru di RGC seperti pembinaan masjid, balai polis, balai bomba, pusat niaga bagi memasarkan produk pertanian dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan ke perumahan nelayan RGC Semop di sini, hari ini.

Selain melawat RGC Semop, beliau bersama Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Martin Ben menghadiri majlis penyerahan projek jeti di RGC Semop.

Abdullah berkata lagi, apabila jambatan muara Batang Lassa dan jambatan Batang Paloh yang menghubungkan Pulau Bruit siap, aktiviti sosioekonomi disepanjang kawasan antara dua jambatan tersebut terutama di RGC akan semakin rancak. 

“Keadaan ini menjanjikan potensi yang baik dari segi menaik taraf sosioekonomi untuk warga nelayan dan tani di Pulau Bruit,” ujarnya.

Dalam pada itu, Martin berkata beliau yakin RGC Semop akan bertambah baik dari aspek sosioekonomi setelah kemudahan awam lebih lengkap.

RGC Semop menempatkan 300 unit rumah untuk nelayan. Setakat ini, pemaju projek telah menemuduga 140 pembeli berpotensi. Ia akan dijual pada RM40,000 seunit.

“Kos keseluruhan (untuk seunit rumah) tidak termasuk infrastruktur ialah RM200,000. Bermakna banyak kos disubsidi (oleh kerajaan),” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan juga merancang untuk membina pelbagai kemudahan seperti tadika, dewan dan masjid.

Mengenai jeti nelayan yang telah siap dibina, Martin berkata ia adalah khas untuk bot nelayan kategori C.

“Fasiliti sebegini diharap memberi manfaat kepada nelayan kawasan Pulau Bruit. Pada masa hadapan kita berharap lebih banyak pembangunan dapat dilakukan di Pulau Bruit,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan