Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Lamat Nyalau (tengah) ketika ditemui TVS semasa hadir menonton perlawanan separuh akhir Piala AFF antara Malaysia dan Thailand yang ditayangkan pada skrin besar di Perkarangan Mydin Petra Jaya. Foto: Ahmad Nasrullah

Skrin besar tayang Piala AFF di setiap zon di Sarawak 10 Januari ini

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 8 Jan: Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Sarawak bercadang untuk menyediakan skrin besar bagi menayangkan perlawanan separuh akhir kedua Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Mitsubishi Electric 2022 membabitkan pertemuan Malaysia menentang Thailand pada 10 Januari ini di setiap zon di negeri ini.

Pengarahnya, Lamat Nyalau memaklumkan, cadangan tersebut akan dibawa kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk diputuskan dalam masa terdekat.

“Pada perlawanan separuh akhir kedua nanti, sekiranya diberi peruntukan yang mencukupi, kita akan memasang skrin besar di setiap zon iaitu melibatkan zon utara, zon tengah dan zon selatan.

“Kita sebenarnya mahu laksanakan di setiap bahagian kerana kita lihat sambutan amat menggalakkan, namun buat masa ini, sasaran kita sekurang-kurangnya kita dapat laksanakan di setiap zon terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS semasa hadir menonton perlawanan separuh akhir pertama skuad Harimau Malaya menentang Thailand yang disiarkan secara langsung pada skrin besar di pekarangan Mydin Petra Jaya pada Sabtu malam.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Abang Draup dan Ketua Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) Negeri Sarawak, Hazry Abdullah.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pemilihan pekarangan Mydin Petra Jaya sebagai lokasi tayangan skrin besar itu, beliau berkata, pemilihannya dibuat mengambil kira faktor kemudahan yang terdapat di situ.

“Kita pada mulanya bercadang untuk mengadakan tayangan skrin besar di tempat terbuka supaya lebih ramai penonton dapat hadir, tetapi seperti kita sedia maklum sejak beberapa hari ini cuaca di Sarawak tidak menentu.

“Kita tidak mahu ambil risiko kerana kita khuatir akan hujan, maka kita pilih lokasi ini yang sesuai dan pada masa sama ia mempunyai ruang tempat letak kenderaan yang banyak,” katanya.

Terdahulu, pada Jumaat, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan kementeriannya bersama Kementerian Perpaduan Negara menyediakan sebanyak 14 skrin besar di seluruh negara bagi penyokong bola sepak tanah air menonton perlawanan membabitkan skuad negara.

Inisiatif tersebut diambil oleh kedua kementerian itu setelah kesemua 59,000 tiket untuk aksi Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil habis terjual dalam tempoh sehari. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan