KOTA KINABALU, 8 Jan: Istana Seri Kinabalu di sini terus menjadi tumpuan pengamal media susulan ketidaktentuan politik di Sabah.
Setakat pukul 3 petang tadi, tiada pergerakan keluar masuk kenderaan pemimpin politik dilihat di pekarangan istana.
Pada Rabu lepas, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Masidi Manjun dilapor berkata gabungan itu sedia membuktikan keabsahan sokongan kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri selepas ada pihak tertentu mendakwa mereka memiliki sokongan lebih separuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam sidang media pada Jumaat lepas mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukannya sebagai Ketua Menteri, selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) telah dilanggar.
Bagaimanapun, lima ADUN BN Sabah tampil mempertahankan kedudukan Hajiji dengan menolak keputusan BN negeri menarik sokongan serta menegaskan kini bukan masa merebut kuasa politik.
Dalam pada itu, Istana Seri Kinabalu turut menyediakan kemudahan seperti khemah kepada petugas media yang berkumpul sejak 9 pagi tadi bagi membuat liputan situasi politik semasa di Sabah.-TVS.