PUTRAJAYA, 8 Jan: Kopitiam Asia Pacific Sdn Bhd berhasrat membuka 50 cawangan baharu Oldtown White Coffee pada tahun ini dengan menumpukan sasaran lokasi di utara dan timur negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dawn Liew berkata, Oldtown White Coffee yang ditubuhkan sejak 2005, kini beroperasi di lebih 180 outlet di seluruh Malaysia serta di lebih tiga buah negara termasuk Singapura, Indonesia, Hong Kong dan Filipina.
“Kami mahu membuka lebih banyak cawangan di negeri-negeri yang tiada Oldtown seperti Perlis, Kedah selain di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu serta Pahang. Ini adalah sasaran kami bagi 2023.
“Lazimnya, apa yang kami utamakan dalam usaha membuka satu-satu outlet baharu adalah (faktor seperti) jumlah penduduk, status pembangunan kawasan itu selain lokasi di pinggir bandar.
“Ini kerana kami mahu memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai…bukan hanya menu makanan segera dari Barat tetapi juga sajian Asia,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran outlet Oldtown White Coffee di IOI City Mall di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Mohd Yusof dan Naib Pengerusi Persatuan Francais Malaysiat, Mohamad Shukri Salleh.
Mengulas lanjut, Liew berkata, pihaknya turut menawarkan pakej perniagaan terbaik serta berpatutan untuk kalangan usahawan yang berminat menyertai keluarga Oldtown.
Syarikat itu juga telah merancang pelbagai strategi dengan menyuntik kelainan dalam rantaian produk ditawarkan termasuk penyediaan produk berasaskan menu makanan sihat.
Malah, katanya, bermula April ini, setiap produk makanan dan minuman di kopitiam itu akan turut disertakan dengan label kandungan kalori.
“Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan yang telah menjalankan projek rintis dengan menerbitkan kiraan kalori dalam semua menu di OldTown,” katanya.
Menurut Liew, usaha itu juga selaras dengan sasaran syarikat bagi tahun ini untuk menyediakan produk lebih berkualiti bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
“Inisiatif ini diharap dapat membantu masyarakat dalam mendapatkan makanan sihat pada harga berpatutan dan sekali gus dapat meringankan kos sara hidup,” katanya. – TVS