JAKARTA, INDONESIA, 8 Jan: Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini bagi memulakan lawatan rasminya selama dua hari, bermula hari ini.
Ketibaan Perdana Menteri bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pukul 2.45 petang waktu Indonesia dengan pesawat khas disambut oleh Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia, Basuki Hadimuljono.
Turut menyambut Anwar ialah Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Sementara itu, turut menyertai delegasi Perdana Menteri ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Ini merupakan lawatan rasmi luar negara pertama Anwar sejak dilantik menjadi Perdana Menteri pada 24 November lalu.
Antara isu utama yang akan dibincangkan termasuklah kerjasama ekonomi melibatkan potensi pelaburan Malaysia di Nusantara yang merupakan ibu negara baharu, Indonesia.
Turut akan disentuh ialah isu persempadanan darat dan maritim serta pekerjaan dan perlindungan terhadap pekerja asing Indonesia di Malaysia.
Menurut Anwar, lawatan ini merupakan cerminan kerjasama yang lebih konkrit melibatkan pelbagai bidang yang bakal memanfaatkan kedua-dua negara.
“Saya mengharapkan lawatan ini akan dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia di samping meneroka peluang kerjasama baharu menerusi perbincangan bersama Presiden Joko Widodo, InsyaAllah,” katanya.
Anwar dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Joko Widodo pada esok di Istana Bogor. -TVS