KUCHING, 7 Jan: Tampil menjelaskan situasi berhubung suaminya yang juga pengarah terkenal, Syamsul Yusof meminta dirinya pulang ke rumah untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah keluarga, Puteri Sarah Liyana bersuara menerusi satu video hantaran di akaun Instagramnya, semalam.
“Macam mana nak bincang, dia dah ‘block’ (sekat) nombor telefon saya sejak setahun lalu,” tegas pelakon itu.
Malahan, Puteri Sarah sekali lagi mempersoalkan kenapa selama empat tahun ini, Syamsul enggan membincangkan kemelut berkenaan hingga setelah membuat pengakuan sudah berkahwin dengan Ira Kazar, semalam.
“Banyak kali saya bertanya nak kahwin dengan dia (Ira) atau tidak? Tapi dia sendiri kata tak nak. Dia kata bukan dengan saya saja tapi dengan ibu bapanya dan semua sepupu yang dia takkan kahwin dengan perempuan itu,” ujarnya.
Menurut Puteri Sarah, dia menyuruh mereka berkahwin kerana tidak mahu bersubahat dengan maksiat yang dilakukan.
Baca artikel berkaitan:
- 1. ‘Tahniah’ yang penuh makna daripada Puteri Sarah kepada Syamsul Yusof
- 2. Syamsul Yusof mengaku nikah dengan Ira Kazar
“Awak patut berbincang dengan ibu bapa saya walaupun awak tak mahu jumpa saya. Ini kerana saya masih ada ibu bapa dan begitu juga awak,
“Bila mereka tanya, banyak kali awak menafikan dan kata tak mahu perempuan itu,” katanya.
Dalam video itu juga Puteri Sarah turut menyifatkan tindakan Syamsul itu sebagai lelaki pengecut kerana selepas berkahwin baharulah mahu mengaku menerusi media sosial.
Menurut Puteri Sarah lagi, dirinya mengetahui suaminya menikahi Ira selepas pengumuman Syamsul pada Jumaat.
Turut dijelaskan wanita itu, sejak ketiadaan suaminya, dia perlu tinggal dengan keluarganya dan keluarga Syamsul kerana memerlukan orang untuk membantu menjaga dan membesarkan dua anak mereka, Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3 tahun. – TVS