Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Suasana di pekarangan Pasar Raya Mydin Petra Jaya yang dipenuhi dengan penyokong Malaysia yang menonton perlawanan membabitkan pasukan negara menentang Thailand di skrin besar yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Foto: Hafeezzur Muzamir

Pekarangan Mydin Petra Jaya gamat dengan sorakan penyokong Malaysia

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 7 Jan: Pekarangan Pasar Raya Mydin Petra Jaya berubah wajah daripada kebiasaan malam ini apabila dianggarkan lebih 300 penyokong Malaysia hadir menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bola Sepak (ASEAN) membabitkan skuad negara menentang Thailand melalui skrin besar yang disediakan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Ia merupakan antara 14 skrin besar yang disediakan di seluruh negara oleh kedua kementerian itu bagi memastikan penyokong bola sepak tanah air yang tidak dapat menontonnya secara langsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini, dapat merasai suasana sebenar di lokasi perlawanan.

Tinjauan TVS mendapati, rata-rata penyokong Malaysia mula membanjiri kawasan tersebut sejak jam 7.30 malam, bagi menyatakan sokongan kepada pasukan negara.

Bagi Mohd Ezatul Firdaus, 24, dia memilih untuk menonton perlawanan tersebut di skrin besar kerana ia lebih mengujakan berbanding menonton di rumah.

“Hari ini saya bersama isteri saya hadir ke sini kerana teruja untuk menonton beramai-ramai bersama dengan penyokong lain.

“Suasana seperti ini lebih meriah seperti berada di stadium, “ katanya.

Senada dengannya, Muhd Kamil, 32, yang menyifatkan tayangan perlawanan di skrin besar itu lebih meriah berbanding menontonnya di kaca televisyen.

“Saya hadir ke sini sebab mahukan suasana menonton perlawanan bola sepak yang sebenar.

“Dengan adanya skrin besar yang disediakan oleh pihak KBS ini, ia memberikan kepuasan kepada penonton, “ katanya.

Pertemuan antara Malaysia dan Thailand sengit yang mana untuk rekod, Harimau Malaya tidak pernah tewas kepada skuad gajah perang itu dalam enam perlawanan terakhir sejak 2014.

Kali terakhir pertemuan membabitkan kedua negara adalah pada separuh akhir Kejohanan Piala Raja Thai pada September 2022 yang menyaksikan kedua pasukan terikat tanpa jaringan, namun Harimau Malaya berjaya lolos ke final setelah menang penalti 5-3.

Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad negara dalam kejohanan Piala AFF adalah pada edisi 2010 di Jakarta yang menyaksikan skuad bimbingan Datuk K. Rajagopal pada ketika itu berjaya merangkul gelaran juara menewaskan tuan rumah Indonesia dengan agregat 4-2 sekali gus membawa balik piala berprestij itu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan