BINTULU, 7 Jan: Seorang lelaki “kaki batu’ yang juga tokan dadah berjaya ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di sebuah kawasan perindustrian Kidurong pada malam Jumaat.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit berkata, suspek berusia 31 tahun ditangkap Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu dalam satu serbuan di lokasi kejadian pada jam 8.23 malam.
“Hasil pemeriksaan menemui bag sandang dipercayai milik suspek yang mengandungi enam tiub straw berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 5.3 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, suspek yang merupakan lelaki tempatan mengaku dadah tersebut adalah miliknya.
“Hasil ujian saringan awal polis mendapati suspek positif dadah Amphetamine dan Methamphetamine.
Untuk itu, katanya suspek disiasat di bawah Sekysen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Sekysen 15(1)(a) akta yang sama.
“Siasatan awal dipercayai dadah itu diedar di sekitar kawasan Kidurong dan boleh digunakan oleh 50 penagih,” ujarnya.
Tegasnya, Seksyen 39A(1) ADB 1952 memperuntukan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak kurang tiga kali. -TVS