KUCHING, 7 Jan: Sebuah kereta dilaporkan terjunam ke dalam sungai di jeti feri Tanjung Kunyit, Sungai Maaw di Sibu, hari ini.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan berkaitan insiden tersebut pada pukul 7.11 pagi tadi.
“Lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Hasil maklumat yang diterima, terdapat tiga orang lelaki yang berada di dalam kereta jenis Toyota Camry ketika kejadian berlaku,” katanya.
Salah seorang dari tiga mangsa, Brayant Magnus Ting Shang, 38, selamat setelah berjaya keluar dari kereta dan telah dihantar ke hospital oleh orang awam.
Dua lagi mangsa, seorang bernama Philip Yiin Chung Leong, 61 tahun dan seorang lagi yang identitinya belum dikenal pasti masih belum ditemui.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan setelah pihak Bomba dibantu Polis Marin diberikan taklimat oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pencarian dilakukan dengan keadah ‘water surface’. – TVS