Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
ADUN Telang Usan, Dennis Ngau (tengah) bergambar bersama JKKK Long Seniei selepas majlis pelancaran. Foto: TVS

JKKK Long Seniei sasar kutipan RM2 juta bina semula rumah panjang terbakar

MIRI, 7 Jan: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Long Seniei menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM2 juta untuk Tabung Bencana Kampung Long Seniei bagi membina semula rumah panjang berkenaan yang terbakar pada tahun lalu.

Satu blok rumah panjang Long Seniei dengan sejumlah 30 bilik musnah dalam kebakaran pada 9 September 2022 sehingga menyebabkan 600 penduduk hilang tempat tinggal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau, menasihatkan pihak JKKK Long Seniei untuk melakukan yang mampu terlebih dahulu sementara menunggu peruntukan dari kerajaan untuk keperluan akan datang.

“Kalau mampu, dirikan apa yang boleh dibuat dahulu. Kemudian, pada masa akan datang daripada peruntukan kerajaan nanti untuk memenuhi keperluan. Sebab itulah saya minta kita melancarkan tabung ini pada hari ini walaupun kita sudah maklum RM2 juta dimohon.

“Kita tidak pasti dapat atau pun tidak RM2 juta daripada usaha ini. Kalau kita dapat pun, RM2 juta atau RM4 juta, banyak keperluan yang boleh dipakai lagi,” katanya semasa Majlis Pelancaran Tabung Bencana Kampung Long Seniei di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) N77 Telang Usan hari ini.

Beliau berkata, Kampung Long Seniei perlu dibantu kerana kampung itu mempunyai potensi untuk dipromosikan sebagai pusat tarikan pelancongan kepada dunia.

“Long Seniei ini jauh terletak di hutan belantara dengan sungainya yang cantik dan mempunyai  banyak ikan. Keadaan di sana cukup tenang, aman dan indah. Inilah kualiti tempat-tempat pelancongan yang ingin dicari oleh dunia sekarang,” ujarnya.

Setakat ini, sebanyak RM6,500 telah disumbangkan dari Kementerian Kebajikan kepada Kampung Long Seniei untuk setiap satu bilik bagi menampung perbelanjaan bahan binaan seperti spandek dan kayu plywood.

Beliau juga menyeru kepada penduduk Kampung Long Seniei untuk mengambil Insurans Allianz Kampungku yang dibuat khas atas permintaan kerajaan sebagai perlindungan kepada penduduk kampung dan keluarga mereka dengan hanya membayar RM85 untuk setahun. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan