ASAJAYA, 7 Jan: Dua maut manakala seorang lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan motosikal dan lori di Jalan Terasi Iban di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, pemandu lori, Julian Buang, 35, dan penunggang motosikal, Andrew Tomin, 47, disahkan maut di tempat kejadian manakala kelindan lori, Junaidi Sawan, 34, hanya cedera ringan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 8.55 pagi dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya ke lokasi kejadian.
“Pemandu lori yang tersepit di bahagian pemandu berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba menggunakan peralatan menyelamat dan disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik di tempat kejadian, kelindan lori yang mengalami cedera ringan berjaya keluar dengan selamat.
“Penunggang motosikal turut maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, kelindan yang selamat, Junaidi Sawan berkata, dia tidak perasaan dan tidak sempat melihat apa yang berlaku sebelum kejadian.
“Saya hanya bermain dengan telefon bimbit saya dan apa yang saya tahu, saya mendengar jeritan yang kuat.
“Kejadian ini berkemungkinan berlaku disebabkan lambat menekan brek,” katanya ketika ditemui TVS.
Difahamkan lori yang membawa minuman keras dalam perjalanan dari Sibu ke Kuching.
Kedua-dua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – TVS