Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kereta yang dinaiki tiga mangsa dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Rajang di Fer Tanjung Kunyit malam tadi. Foto: Pasukan Polis Marin Sibu

Doktor gigi hantar lokasi ‘Google Map’ terselamat, kereta terjunam dalam sungai di Sibu

SIBU, 7 Jan: Seorang doktor gigi terselamat manakala dua lagi masih hilang, dalam tragedi kereta terjunam ke dalam sungai di jeti Feri Tanjung Kunyit, Sungai Maaw dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili ketika dihubungi mengesahkan mangsa yang terselamat dikenali sebagai Brayant Magnus Ting Shang Chuan, 38, yang merupakan seorang doktor gigi.

“Dua lagi mangsa dikenali sebagai Philip Yiin Chung Leong, 61, dan seorang wanita yang belum dipastikan identitinya dilaporkan masih hilang,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menerima satu laporan mengenai kejadian daripada seorang lelaki berusia 39 tahun pada jam 2.03 pagi tadi.

Baca artikel berkaitan > > > Kereta terjunam ke dalam Sungai Maaw di Sibu, dua masih hilang

“Pengadu memaklumkan bahawa dia telah menerima panggilan daripada sepupunya (Brayant) menyatakan kereta yang dinaiki bersama bapa saudaranya dan seorang wanita telah terjatuh ke dalam Sungai Rajang di jeti feri Tanjung Kunyit pada jam 8 malam itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sepupu pengadu sempat menghantar lokasi menerusi aplikasi ‘Google Map’ melalui telefon bimbitnya sebelum talian terputus hubungan.

“Cubaan pengadu untuk menghubungi semula sepupunya gagal menyebabkan dia bergegas membawa seorang rakan ke lokasi kejadian berpandu kepada Google Map yang menunjukkan lokasi kejadian di Jeti feri Tanjung Kunyit.

“Berdasarkan maklumat pengadu, sepupunya Brayant berada dalam nada cemas meminta tolong kerana keretanya telah masuk ke dalam sungai dan sedang dimasuki air ketika itu,” kata Zulkipli.

Katanya, pengadu bersama seorang rakan tiba di tempat kejadian pada jam 10.30 malam namun mereka gagal menemui kesemua mangsa.

Pengadu kemudian menghubungi Balai Polis Ulu Lanang mengenai kejadian untuk meminta bantuan.

Sehubungan itu, Zulkipli memberitahu pihaknya telah mengaktifkan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat, APMM dan Polis Marin pada jam 7 pagi tadi.

“Mangsa pertama (Brayant) telah berjaya ditemui pada jam 7.20 pagi dan telah dibawa ke Hospital Umum Sibu dan keadaannya dilaporkan stabil manakala usaha mengesan dua lagi mangsa masih diteruskan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan