KUCHING, 7 Jan: Persatuan Orang-Orang Pekak Sarawak (SSD) melancarkan buku berjudul “Understanding Deaf Culture Sarawakian” bagi membantu orang ramai untuk memahami komuniti-komuniti orang pekak dengan lebih baik.
Pelancaran buku tersebut disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah di pusat SSD hari ini.
Dalam ucapannya, Fatimah menzahirkan rasa bersyukur atas penghasilan buku tersebut kerana ia mampu membuka pintu untuk semua orang memahami komuniti pekak dengan lebih baik.
“Penghasilan buku ini akan membantu kita (rakyat) untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik dan peka tentang golongan pekak,” ujarnya.
Beliau berkata, buku tersebut mengandungi tujuh bab yang disusun teliti dengan pelbagai topik dan informasi yang boleh menjamin komunikasi dan pergaulan yang efisyen antara golongan pekak dan bukan pekak.
“Jurang yang wujud antara kedua-dua komuniti ini perlu diatasi bagi kesejahteraan semua.Oleh itu, besarlah harapan kita di kementerian agar buku ini dapat membantu anda (sesama masyarakat) mempelajari dan memahami tentang komuniti ini,” katanya.
Orang ramai boleh melayari http://www.sarawaksocietyforthedeaf.org untuk maklumat lanjut mengenai buku ‘Understanding Deaf Culture Sarawakian’. – TVS