KUCHING, 6 Jan: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menerima kunjungan hormat dari Ahli Lembaga Baitulmal dan Wakaf di Ibu Pejabatnya Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya.
Kunjungan hormat itu antara lain adalah bertujuan bagi membentangkan laporan aktiviti lembaga berkenaan sepanjang tahun 2022.
Dalam pada itu, kunjungan tersebut turut memperkenalkan Datu Abang Helmi Tan Sri Abang Ikhwan selaku Pengerusi baharu Lembaga Baitulmal dan Wakaf Sarawak.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha serta Pengurus Besar Majlis Islam Sarawak, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.
Tabung Baitulmal Sarawak merupakan sebuah organisasi Islam yang memainkan peranan penting dalam Program Pembangunan Masyarakat Islam melalui kemudahan bantuan dalam bidang pendidikan, kebajikan dan pembangunan insan.-TVS