KUCHING, 6 Jan: Laluan alternatif sementara dari Kota Samarahan ke BDC, Jalan Setia Raja dan Jalan Stutong dibuka bermula hari ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata laluan itu dibuka bagi tujuan kerja-kerja pembaikan dan menaik taraf jalan Kuching/Samarahan Expressway.
Bagaimanapun, laluan itu hanya boleh digunakan kenderaan ringan dengan had muatan lima tan.
“Had laju yang dibenarkan adalah 30km/jam sahaja. Pengguna-pengguna juga diminta berhati-hati semasa memandu di jalan laluan alternatif sementara ini,” kata JKR menerusi kenyataan pada Khamis.
Laluan alternatif itu dibuka susulan tinjauan dan pemerhatian pada 4 dan 5 Januari serta perbincangan lanjut bersama pemaju perumahan.
“JKR Samarahan akan memaklumkan dari masa ke semasa sekiranya terdapat sebarang perubahan pada tarikh, waktu atau kawasan yang terlibat dengan kerja-kerja ini.
“Pengguna jalan raya turut dinasihatkan merancang perjalanan di kawasan-kawasan yang terlibat,” katanya. – TVS