KUCHING, 5 Jan: Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Norway dalam usaha ke arah menjadikan kedua-dua negeri itu maju menjelang 2030 bagi menerokai tenaga baru.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni berkata, bagi tujuan itu katanya, rombongan Norway yang diketuai Duta Besar Norway Ke Malaysia, Morten Paulsen menyatakan minat negara berkenaan dalam tenaga baru.
Lawatan Abang Johari ke Norway untuk tinjau fasiliti, teknologi CCS
Beliau berkata, kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam membangunkan sumber tenaga baru seperti hidrogen sangat dikagumi.
Menurutnya, ini telah mendorong Kerajaan Norway untuk menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi merealisasikan pelan pembangunan Sarawak bagi tempoh 10 tahun iaitu Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Dalam kunjungan itu, Morten Paulsen telah menyatakan minat Kerajaan Norway untuk menjalinkan kerjasama dan menerokai peluang dalam ‘new energy’ atau tenaga baru,”
“Dalam pada itu, dasar Kerajaan Sarawak yang turut mempromosikan tenaga hijau dan teknologi juga menarik minat Kerajaan Norway untuk menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan menarik khususnya dalam bidang tenaga hijau,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Duta Besar Norway itu turut mengagumi dan menyatakan minat mereka dalam pelaksanaan penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di Sarawak.
Menurutnya, Sarawak berpotensi dalam CCUS ini memandangkan negeri ini mempunyai kawasan yang luas dan besar serta struktur geologinya yang sesuai untuk menyimpan karbon dioksida.
“Menerusi industri CCUS ini juga akan menggalakan pembangunan gas karbon dioksida di Sarawak untuk menjamin keselamatan tenaga, menyediakan peluang pekerjaan tempatan melalui industri hijau dan sumber pendapatan kepada Sarawak,” katanya. – TVS