Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Enam kru bot nelayan yang ditahan Maritim Malaysia di lokasi sembilan batu nautika dari Kuala Tatau pada Rabu. Foto: Maritim Malaysia.

Tangkap ikan di zon larangan, enam individu ditahan

BINTULU, 5 Jan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Bintulu menahan sebuah bot nelayan bersama dua tekong warga tempatan dan empat kru warga Indonesia kerana disyaki melakukan aktiviti penangkapan ikan di zon larangan.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Mohd Khairol Anuar Saad berkata, tangkapan di lokasi sembilan batu nautika dari Kuala Tatau, dekat sini sekitar jam 10.30 pagi semalam dibuat susulan aduan orang awam yang mendapati bot nelayan berkenaan menceroboh kawasan pesisir pantai.

Pemeriksaan lanjut mendapati empat kru warga Indonesia didapati menyalahgunakan pas atau permit yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Muatan hasil laut seperti ikan campur dan ikan baja berjumlah lebih kurang 100 kilogram yang dipercayai baru ditangkap telah disita bersama dengan vesel termasuk peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM500,000,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen kerana melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak dibenarkan. Kesalahan itu boleh dikenakan kompaun oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Katanya lagi, kru warga asing yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki kerana memasuki Malaysia secara haram dan salah guna permit kerja seperti yang terdapat di dalam pasport.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi ke atas kesalahan kerana kesan susulan kesalahan ini amat besar sehingga boleh mengakibatkan kerosakan kepada ekosistem pantai dan menjejaskan pendapatan nelayan-nelayan kecil,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan