Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee. Foto: TVS

Kuasa lulus projek bawah RM50 juta percepat baik pulih sekolah di Sarawak

SIBU, 5 Jan: Keputusan kerajaan Persekutuan supaya projek dengan kos di bawah RM50 juta diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak akan mempercepat usaha membaik pulih sekolah-sekolah daif di Sarawak.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee menyifatkan keputusan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai langkah yang amat positif.

“Keputusan ini akan dapat mengurangkan birokrasi, seterusnya mempercepat projek yang hendak dilaksanakan terutamanya dalam usaha menangani sekolah daif,” katanya dalam video yang disiarkan di laman Facebooknya pada Rabu.

Menurutnya sebelum ini apabila berlaku keadaan yang tidak dapat diguna pakai atau memerlukan notis perubahan dalam perancangan, terdapat prosedur memerlukan kerajaan Sarawak merujuk kepada Persekutuan dan ini merupakan satu masalah kerana mengambil masa panjang untuk diselesaikan.

Katanya pelaksanaan projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak bukan hanya melibatkan reka bentuk yang berbeza dengan Semenanjung, malah turut membabitkan masalah logistik.

Dr Annuar berkata Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) digunakan secara menyeluruh di Semenanjung, tetapi sistem yang sama mungkin tidak dapat digunakan di Sarawak berikutan jarak yang jauh dari bandar yang menimbulkan masalah pengangkutan.

Menurutnya kebanyakan sekolah daif yang dibaik pulih atau dibina semula menelan kos dalam lingkungan antara RM20 juta dan RM30 juta.

“Jadi dengan keputusan kerajaan pada hari ini saya pasti projek baik pulih sekolah daif di Sarawak ini dapat dipercepat,” tambahnya.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Rabu, Perdana Menteri mengumumkan Kementerian Kewangan bersetuju supaya pelaksanaan projek dengan kos di bawah RM50 juta di Sabah dan Sarawak, diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan mematuhi peraturan kewangan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan