Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi. Foto: TVS

Garis panduan perlu untuk tentukan bidang kuasa agensi persekutuan dan negeri

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 5 Jan: Satu garis panduan perlu dibincang dan disediakan bagi menentukan perincian berhubung agihan bidang kuasa peranan dan tanggungjawab antara agensi persekutuan dan negeri dalam pelaksanaan projek-projek di Sabah dan Sarawak.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ini susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan JKR Sabah sebagai jabatan teknik kerajaan.

“Dengan pengiktirafan ini JKR Sabah dan Sarawak diberi kuasa mentadbir urus projek-projek pembangunan persekutuan pada kadar sehingga RM50 juta. 

“Keputusan ini akan melibatkan pindaan Arahan Perbendaharaan 182 (AP 182) yang menetapkan sebelum ini bahawa semua jabatan bukan teknik hendaklah mendapatkan perkhidmatan daripada jabatan teknik yang diiktiraf sahaja iaitu JKR Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melaksanakan semua projek kerajaan (perkara 182.1),” katanya.

Beliau yang mengalu-alukan pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, berkata demikian menerusi kenyataan media pada Khamis.

Mengenai status pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo, Nanta berkata sehingga kini pelaksanaan fasa 1 projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak dan Sabah masing-masing telah mencapai kemajuan fizikal 91 peratus dan 73 peratus. 

Keseluruhan fasa 1 LPB Sarawak dijangka siap pada akhir 2023 kecuali bagi pakej 11 (Lambir dan Beluru) yang dijangka akan siap pada 2024 berikutan terdapat perubahan skop projek. Untuk fasa 1 LPB Sabah pula ia dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2025.

Menurutnya lagi, fasa ke-2 LPB Sarawak pula akan melibatkan jajaran Miri-Limbang-Lawas (Lebuhraya Transborneo), fasa kedua projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR) ; dan fasa 1B bagi projek LBU Sabah – keseluruhan melibatkan anggaran kos projek sebanyak RM26.2 bilion.

“Semua projek baharu berkenaan telah memperoleh kelulusan prinsip dari Jemaah Menteri pada April 2022. 

Pembinaan fizikal dijangka akan bermula pada tahun 2024 iaitu sebaik sahaja bajet 2023 diluluskan Parlimen dan pengesahan kelulusan peruntukan diterima daripada agensi pusat,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan