DARO, 4 Jan: Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abdul Wahab menzahirkan penghargaan dan terima kasih terhadap sokongan padu pengundi sehingga membolehkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) meraih kemenangan besar di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) lalu.
Beliau berkata, kepercayaan diberikan membolehkan beliau memenangi kerusi Parlimen Tanjong Manis sekali gus menjadi Ahli Parlimen di kawasan itu untuk penggal yang kedua.
Kejayaan besar itu ujarnya, sekali gus membangkitkan semangat beliau untuk meneruskan perjuangan membela nasib rakyat di kawasan tersebut.
“Program ini sebenarnya sebagai tanda saya untuk meluahkan penghargaan dan terima kasih kepada semua termasuk pengundi, jentera parti, pemimpin masyarakat dan sebagainya. Terima kasih atas sokongan yang diberikan.
“Tidak terkecuali sokongan padu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol. Beliau juga bekerja keras membantu sepanjang kempen,” katanya pada Majlis Penghargaan dan Kesyukuran bersama penduduk Kampung Bruit.
Terdahulu, program turut diadakan di Sarikei, Bintangor, rumah-rumah panjang di Sare, Kerubong, Mupong, Sebayang, Sungai Sian, Selidap, sebelum diteruskan di Zon Tanjong Manis, Kampung Semop, Saai dan berakhir di Kampung Salah Kecil pada Ahad malam.
Kejayaan semua program itu membukti semangat perpaduan dan kerjasama tinggi dalam kalangan penduduk.- TVS