SARIKEI, 4 Jan: Hubungan antara Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei dengan masyarakat akan terus dimantapkan melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti bersama komuniti setempat sepanjang tahun ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Penolong Penguasa Bomba Mahmudin Narudin berkata, pendekatan itu bukan sahaja mengeratkan hubungan dan kerjasama antarat kedua-dua pihak tetapi juga berupaya membolehkan bantuan disalurkan dengan lebih pantas.
Pada masa yang sama katanya, penglibatan pelbagai badan sukarela sama ada di peringkat kampung mahu pun bandar membantu agensi menghadapi kes kecemasan dan bencana.
“Selain mendampingi masyarakat, kita juga akan sentiasa menerapkan ilmu kebombaan kepada golongan kanak-kanak. Bukan sekadar menyantuni golongan ini tetapi juga memberi maklumat berguna agar mereka tidak cepat panik dan berpeluang menyelamatkan diri ketika berlaku kebakaran,” katanya ketika ditemui semalam.
Beliau menegaskan, kesedaran ilmu kebakaran kepada masyarakat setempat dan merancang pelbagai aktiviti program keselamatan, bukan program bermusim sebaliknya sentiasa diadakan secara berterusan.
Pada masa yang sama ujar beliau, kesiapsagaan dan kemahiran anggota balai itu juga akan terus dipertingkatkan sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kita amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh pengurusan tertinggi sehingga Balai Bomba Sarikei menduduki tempat yang ketiga, antara jabatan di Malaysia tahun lalu.
“Pencapaian membanggakan ini sudah pasti akan menjadi penanda aras kita untuk melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik kepada masyarakat.” katanya lagi.- TVS