KUCHING, 3 Jan: Penyampaian dakwah tidak lagi terbatas seiring dengan kepesatan teknologi masa kini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau, terdapat pelbagai aplikasi baharu yang membolehkan seseorang itu berhubung antara satu sama.
“Dalam dunia teknologi pada masa sekarang jarak fizikal bukan lagi penghalang untuk manusia saling berhubung.
“Dengan adanya platform seperti email, telegram, instagram, whatsapp, tiktok, youtube dan lain-lain, ia dapat menghubungkan kita dengan pantas walaupun kita berada di bahagian utara Jepun sehingga ke selatan New Zealand sekalipun, “ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pembukaan Perhimpunan Agung Majlis Dakwah Islam Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) Kali Ke-19 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Perhimpunan dwitahunan itu menyaksikan penyertaan 100 delegasi dari 19 negara yang berkampung di Kuching selama lima hari dari 1 hingga 5 Januari 2023.
Edisi kali ini memberi fokus kepada enam objektif utama termasuk penggunaan platform digital sebagai medium baharu penyampaian dakwah Islam.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, teknologi yang wujud wajar dimanfaatkan masyarakat Islam untuk menceritakan keindahan dan kebaikan Islam dengan lebih berkesan.
Tambahnya, platform tersebut juga membantu dalam penyebaran pemikiran baharu Islam.
“Kita menghargai pendekatan lama, namun kita tidak seharusnya mengabaikan platform baharu dalam usaha kita berhubung antara satu sama lain.
“Kita perlu menggunakan aplikasi moden ini dalam mendekati generasi baharu, “ jelasnya.– TVS