Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tangkap layar video yang memaparkan jurulatih dipercayai menampar dua pemain bola tampar pelajar wanita.

Kementerian Pendidikan akan berjumpa ibu bapa isu jurulatih tampar pemain bola tampar

ByIzzah Kamilah Yunus

KUCHING, 2 Jan: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa dua pelajar terbabit dengan klip video yang memaparkan seorang jurulatih dipercayai menampar pemain bola tampar wanita.

Menerusi kenyataan media hari ini, KPM berkata pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan akan memberi kerjasama penuh dengan polis jika ada laporan mengenai insiden yang tular di media sosial.

“Satu sesi perjumpaan dengan ibu bapa murid yang terlibat akan dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan laporan tersebut,” kata kenyataan itu.

KPM pada masa sama berkata pihaknya akan terus komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjaga.

Baca artikel berkaitan sini >>> KPM telah jumpa ibu bapa pelajar ditampar

Insiden itu dipercayai berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor yang diadakan pada 14 hingga 16 Dis lepas.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementerian itu tidak akan berkompromi dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat tindakan jurulatih itu.

Beliau berkata laporan penuh berkenaan isu itu akan menyusul dan kementeriannya turut memohon saksi untuk tampil bagi memberi keterangan.

“Tekad mewujudkan Sekolah Selamat untuk semua murid akan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam ciapan menerusi Twitter rasminya pada Ahad malam.

Sementara itu, Bernama melaporkan jurulatih itu telah digantung daripada melibatkan diri dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan sehingga siasatan selesai.

Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) memaklumkan pihaknya juga telah mengambil langkah menubuhkan badan siasatan bagi menyiasat kejadian tersebut dengan serta-merta serta akan berhubung dengan pihak berkaitan bagi tujuan berkenaan.

“MAVA sama sekali tidak akan bertoleransi dengan sebarang penggunaan kekerasan ke atas mana-mana pihak serta bersedia untuk mengambil tindakan selanjutnya mengikut lunas undang-undang serta Perlembagaan MAVA,” lapor Bernama. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan