KUCHING, 31 Dis: Tahun 2022 bakal melabuhkan tirainya pada malam ini bagi ketibaan tahun baharu 2023.
Tinjauan TVS di sekitar Kuching pada hari ini menyaksikan keterujaan warganya untuk melangkah ke tahun baharu 2023 sambil menzahirkan azam untuk menjadi individu yang lebih baik daripada tahun sebelumnya.
Sementara seorang kontraktor, Mohd Suffiyan, 51, berkata sempena tahun baharu 2023 beliau berharap tahun depan lebih baik daripada tahun ini dan semoga Malaysia dapat mencapai sebuah negara maju.
“Sempena tahun baharu yang akan tiba ini, saya ucapkan selamat tahun baharu dan semoga semua rakyat Malaysia berjaya, hidup aman damai dan berbahagia selalu,
“Azam saya tahun baru ini, semoga saya dapat menjadi yang lebih baik daripada tahun ini. Harapan saya pula, semoga kita bersama-sama menjadikan Malaysia ini sebuah negara yang maju,” katanya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Sharum Arum, 60, menzahirkan harapannya sempena Tahun Baharu 2023 agar dirinya dikurniakan kesihatan yang berpanjangan dan dimurahkan rezeki.
“Saya berharap agar saya diberikan kesihatan, panjang umur dan dimurahkan rezeki. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada anak-anak saya. Saya ucapkan selamat tahun baharu kepada semua. Semoga anak-anak dan cucu-cucu saya diberikan kesihatan yang baik,” katanya. – TVS