JAKARTA, 31 Dis: Seorang pelancong warganegara Malaysia yang dilaporkan hilang, telah dijumpai meninggal dunia kerana lemas dibawa arus oleh pihak berkuasa tempatan di Diamond Beach, Pulau Nusa Penida, Bali.
Mangsa dilaporkan hilang pada Selasa (27 Dis) jam 2.50 petang waktu tempatan ketika cuba menyelamatkan dua orang pelancong asing yang hampir lemas di pantai pulau peranginan tersebut sebelum dihanyutkan arus.
Operasi mencari dan menyelamat dari Pejabat SAR Bali melakukan pencarian di perairan serta sapuan darat melibatkan empat orang anggota.
Ketua Kansar Bali, Gede Darmada berkata, mangsa ditemui selepas pencarian intensif dilakukan.
“Jenazah mangsa dilihat terapung di sekitar lokasi kejadian, kira-kira 6 kilometer ke selatan,” katanya.
Kemudian anggota pencari dan penyelamat segera menghampiri mangsa dan kemudian dibawa ke pantai.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah memberikan bantuan konsular sewajarnya bagi memudahkan pengurusan jenazah, termasuk penyelarasan dengan pihak berkuasa tempatan bagi membolehkan jenazah dibawa pulang dengan segera. – TVS