LAWAS, 31 Dis: Hasrat untuk mengenengahkan garam bukit dari Lawas menembusi ke pasaran dunia merupakan misi kerajaan Sarawak dalam usaha mengangkat status ekonomi penduduk di kawasan luar bandar.
Pada siri terdahulu penulis telah merungkai ciri pengkomersialan dan potensi produk garam bukit di Ba’Kelalan bagi membawakan kisah pembangunan infrastruktur pada siri terakhir ini.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang melihat potensi khazanah alam berkenaan beliau sendiri telahpun ‘turun padang’ untuk melawat kampung-kampung terbabit dan menyalurkan bantuan yang diperlukan.
Beliau optimis pembangunan infrastruktur yang sedang dilaksanakan di Ba’Kelalan akan menyerlahkan lagi potensi strategik kawasan itu sebagai lokasi dagangan persempadanan.
“Ia termasuk produk garam bukit dari Ba’Kelalan ini. Ini sahaja tempat yang kita mampu memperoleh bahan semula jadi ini yang mempunyai khasiat yang begitu tinggi,
“Kalau kita menambahbaik ketersambungan jalan raya, telekomunikasi, infrastruktur, dan liputan internet saya yakin ia akan membantu mereka untuk memasarkan produk-produk mereka ini,” katanya.
Bantuan serta sokongan kepada pengusaha produk berkenaan kata beliau disalurkan menerusi Jabatan Hutan Sarawak.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Merungkai khasiat asli garam bukitNaik taraf infrastruktur di Lawas, angkat nilai komersial garam bukit
- 2. Sarawak perkasa pengkomersialan garam bukit
“JHS mendirikan fasiliti supaya mereka mempunyai kemudahan untuk memproses dan ini kita akan teruskan, malah saya sendiri ada melawat kawasan itu dan memberi bantuan kepada mereka dan yang penting ialah kita harus berusaha meningkatkan kemudahan-kemudahan ini supaya mereka mudah untuk memasarkan produk-produk ini,” ujarnya lagi.
Tambahnya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Ba’Kelalan memiliki kriteria ekopelancongan yang tinggi nilainya.
Justeru ketersambungan di seluruh Sarawak, khasnya kawasan luar bandar memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf hidup komuniti setempat.
Dalam pada itu kenyataan Awang Tengah tersebut disambut baik usahawan produk warisan Lun Bawang, Andrew Yahya.
Menurutnya dengan adanya bantuan dari kerajaan dan agensi terlibat ia akan mampu meningkatkan lagi pengeluaran produk garam bukit.
“Kami pengusahanya di sini ingin memajukan garam bukit dan memasarkannya. Ia sudah dipasarkan di luar sana tetapi buat masa sekarang ini ia tidak mencukupi.
Di bahagian seperti Limbang, Lawas, Miri dan di amnya di negeri Sarawak inilah, ada permintaan sebenarnya tetapi tidak mencukupi,” jelasnya.
Tambahnya lagi sebelum ini tidak ramai yang berminat untuk meneruskan pekerjaan menjadi pengusaha produk garam bukit ekoran kerumitan prosesnya yang memerlukan komitmen tinggi.
Selain itu, kekurangan bahan kayu untuk proses pembakaran secara tradisional turut menjadi antara kebimbangan pengusaha-pengusaha di kawasan itu.
Namun semua itu tidak mematahkan semangat para pengusaha kerana usaha gigih dan minat yang tidak kenal erti putus asa mereka menjadi pendorong dalam memastikan produk garam bukit Lawas dan Limbang merentasi benua suatu hari nanti. – TVS