GEORGE TOWN, 31 Dis: Peninju baharu kebangsaan yang mewakili Majlis Sukan Negara (MSN), Daeloniel McDelon Bong dalam kategori 57 kilogram (kg) pada Kejohanan Tinju Antarabangsa Pulau Pinang berjaya mara ke peringkat akhir yang akan berlangsung malam ini.
Anak jati Sri Aman berkenaan sebelum itu menumbangkan wakil Sumatera Utara, Indonesia, M. Iqbar Rasokismktupang menerusi dua pusingan pada acara separuh akhir di Pesta Pulau Pinang di sini, semalam.
Daeloniel berkata, pada awalnya menjangkakan perlawanan yang sangat sengit dan mengelak daripada terlalu meletakkan keyakinan bagi memastikan fokusnya tidak terganggu.
“Cuma ia rezeki saya (malam tadi) kerana dapat menghabiskan perlawanan dengan lebih awal untuk menghilangkan kepenatan dan kecederaan.
“Saya juga sudah melihat aksi lawan berkenaan dalam perlawanan sebelum ini dan beliau amat bagus ketika bertemu peninju dari Kelantan,” katanya kepada TVS semalam.
Mengulas mengenai perlawanan akhir di gelanggang sama malam ini, peninju berusia 23 tahun yang mendapat gelaran Kilat Boy itu berkata, dia akan mengubah corak perlawanan.
“Cuma saya tidak boleh terlalu yakin untuk permainan esok kerana saya tahu lawan saya dari Tentera Darat agak baik dan lebih berpengalaman.
“Saya juga tidak memandang mudah setiap perlawanan dan akan membuat persediaan untuk esok,” katanya lagi.
Pada aksi akhir, Daeloniel bakal berentap dengan atlet Jemis Wong Lee Onn dari Tentera Darat.
Sementara itu, Daeloniel turut menyatakan penghargaan kepada barisan jurulatih yang diketuai Azmi Yunus serta pembantu jurulatih Paunandes Paulus dan Awang Afendi Awang Kati. – TVS