Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah Foto: TVS

Sarawak berhasrat bawa pulang artifak ‘Sun Hat’ dari Muzium Pitt Rivers, Oxford

ByFarah Diyana Samsuddin

KUCHING, 30 Dis: Sarawak berhasrat membawa pulang artifak ‘Sun Hat’ milik kaum Badeng yang sedang ditempatkan di Muzium Pitt Rivers, Oxford, kata Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu berkata perancangan bagi proses membawa pulang artifak berkenaan kini diusahakan oleh Jabatan Muzium Sarawak (JMS).

Menurut beliau ‘Sun Hat’ terbabit merupakan sebahagian set daripada enam aset artifak yang didokumentasikan menerusi Buku Daftar Perolehan Muzium Sarawak.

Berkongsi mengenai sejarah artifak itu, Abdul Karim memberitahu ‘Sun Hat’ adalah salah satu daripada objek yang dipamerkan di mini Muzium Sarawak yang ditubuhkan oleh Rajah Charles Brooke pada tahun 1905 di Cirencester.

“Setelah muzium tersebut ditutup pada tahun 1917, objek ini telah didermakan oleh Keluarga Brooke kepada sebuah institusi di United Kingdom iaitu Pitt Rivers Museum, Oxford,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Warisan Sarawak di Bangunan Baitulmakmur II di sini, pada Rabu.

Selain ‘Sun Hat’ berkenaan, Abdul Karim memberitahu kerajaan Sarawak turut merancang untuk membawa pulang artifak-artifak lain kembali ke negeri ini.

“Kemungkinan barang-barang lain yang telah didermakan oleh Keluarga Brooke pada masa itu dapat dikembalikan supaya ia dapat kembali ke tanah air di mana asal usul artifak ini datang,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu Ejen Amerika David McLanahan dari Jungle Arts and Flora turut berhasrat menyerahkan objek-objek lama dalam simpanannya kepada JMS seperti Rantai Kaum Bidayuh, Rantai Pawang Orang Ulu dan aksesori berunsur kenyalang.

“Pemulangan dan pemberian artifak dan objek kepada Jabatan Muzium Sarawak itu menunjukkan bahawa telah timbul kesedaran dalam kalangan masyarakat luar mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah warisan negeri Sarawak,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan